Hidup ini adalah perjuangan..

akan engkau dapati hidupmu akan menempuh saat kesukaran, dan ingatlah bahawa Allah sentiasa bersamamu..

Friday, August 5, 2011

Melangkah Menuju Kepada-Mu..

Rasa hamba mulai terhakis sedikit demi sedikit sepertimana batu-batuan terhakis dek terkena air terjun.. cebisan rasa semakin lama semakin pudar.. namun semua itu bukan penghalang bagiku kerana paksi yang utama itu adalah kemahuan untuk berubah kepada kebaikan. Jika tanpa kemahuan, masakan aku mahu ke arah itu. Lagipun, aku percaya bahawa Allah telah tetapkan yang setiap insan ini berfitrah menyukai kebaikan apatah lagi untuk dirinya sendiri..
...kemudian menjadi tenang kulit dan hati mereka di waktu mengingati Allah.. – Az-Zumar :23
Dengan mengingati Allah jua hati kita menjadi tenang, namun bukanlah mudah bagi insan yang telahpun lama bergelumang dengan dosa yang melata seperti tumbuh-tumbuhan yang tumbuh di setiap pelusuk muka bumi Allah ini...
Namun semua itu bukanlah penghalang sekiranya kita mahu berjalan menuju Allah. Ada baiknya kita mulakan dengan perkara yang mudah terlebih dahulu dengan mengurangkan pengambilan makanan. Aku mendengar perkara ini seperti biasa tapi inilah perkara yang dituntut dan diajar oleh Rasulullah S.A.W. Tapi mengapa? Kerana hal inilah yang membuatkan manusia berfikir lebih waras dan mempunyai pertimbangan yang betul.. Bukankah perut yang kenyang itu menyukarkan kita beribadat, apatah lagi untuk mengingati tuhan.. Mudah & kecil, tapi membawa kebaikan yang begitu bermakna… Ramadhan menjadi satu medium dan bantuan buatku untuk terus maju melangkah kepada-Mu Ya Rabbi..
Perasaan malu.. Itulah yang perlu aku tebalkan pada diriku ini. Malu kepada Allah, atas segala nikmat yang diberikan, sewajarnya aku gunakan untuk beribadah kepada-Nya bukanlah menderhakai-Nya.. Kini, aku mula sedar yang perasaan inilah yang mampu untuk mengukuhkan langkahku menuju kepada-Nya..
Kata orang, perbanyakkanlah amalan sunat untuk mendekatkan diri kepada Allah.. Tapi tidak wajar bagiku sekiranya amalan wajib bagiku belum lagi sempurna.. Ada baiknya aku pelihara dan sempurnakan amalan wajibku terlebih dahulu.. Aku melihat ramai manusia berpuasa tapi tidak menunaikan solat fardhu.. Aku tak nak… Aku tak nak amalanku menjadi sia-sia kerana  meninggalkan kewajipan yang lain.. Ada baiknya bagiku untuk aku sempurnakan setiap amalan yang wajib bagiku terlebih dahulu…
Ya Allah.. Bantulah hambu-Mu ini dalam meraih cinta-Mu yang suci..Berikan kekuatan kepadaku untuk aku membangkitkan kembali Cinta kepada-Mu..

Wahai anak Adam, selagi mana engkau memohon dan
mengharapkan daripada-Ku, Aku ampunkan engkau walau apa
pun dosamu, Aku tidak peduli. Wahai anak-anak Adam
jika dosamu sampai ke puncak langit lalu Engkau pohon
keampunan daripada-Ku. Aku ampunkan engkau, Aku tidak peduli.
Wahai anak Adam, engkau datang kepada-Ku dengan dosa yang
hampir memenuhi bumi, namun engkau menemui-Ku
tanpa mensyirikkan Daku dengan sesuatu, nescaya Aku
datang kepada-Mu dengan penuh keampunan.. (Riwayat Tirmidzi)

Aku percaya, masih ada peluang untuk aku kembali mendekati-Mu ya Allah kerana sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Pengasih lagi Maha Pengampun. Ya Allah, Berikan aku kekuatan untuk aku terus maju melangkah menuju kepada-Mu Ya Allah…